Selasa, 7 Oktober 2008

Sambutan "Eidul-Fitri"



Takbir bergema di malam raya. Terasa sayu hati mendengarnya. Apatah lagi sambutan raya tahun ini diadakan di rumah tempat saya dibesarkan. Walaupun rumah lama telah didirikan rumah baru, namun kenangan lama masih terbayang di ingatan. Selama 6 tahun rumah ini menyepi, Alhamdulillah tahun 2008 saya dan keluarga dapat bersama-sama merayakan lebaran di kampung. Orang yang paling gembira adalah abang sulong saya. Dia merasakan bagai mimpi dan perayaan kali ini menggamit kisah lama di rumah pusaka kedua orang tua saya.

Kesemua adik beradik berkumpul bersalaman memohon ampun dan maaf. Terasa syahdu dengan ketiadaan ayah bonda. Kalau mereka masih ada sekarang nescaya mereka berbangga dengan suasana dan keadaan sekarang. Malas mahu saya mengungkapkan kisah-kisah lama semasa berhari raya di kampung. Tetapi apa yang pasti ialah sambutan kali ini begitu bermakna buat saya. Rumah yang telah siap agak padat dengan keluarga besar saya. Keadaan rumah yang agak "cute" menyebabkan kemeriahan hari raya begitu terasa dengan pelbagai karenah anak-anak buah di malam raya. Ada yang mengatur lampu "kelip-kelip', ada yang menolong ibu mereka memasak, ada menyusun kuih-muih, ada yang menggosok baju raya, dan macam-macam lagi.

Saya..hemm.. malam raye sibuk cuci cermin besar di ruang tamu ala "victoria" biar tampak berkilat. Selain melayan karenah anak buah paling kecil sekali "Aisy" namanya berlari ke sana-sini. Rumah terasa hidup bila semua orang sibuk melakukan tugas-tugas akhir sebelum subuh Syawal menjengah. Hati terasa hiba dan sedih tatkala takbir raya bergema. Saya masih terkenangkan bonda tercinta. Alangkah bagusnya kalau bonda ada di sisi lagi.

Dentuman bunyi "kembang api" (firework) menghilang rasa sedih dan duka. Masing-masing keluar rumah melihat kembang api dinyalakan oleh jiran sebelah. Wah... raya kali ini memang hebat. Kawan-kawan lama saya datang bertandang ke rumah saya bertanya khabar. Banyak idea dan topik perbincangan diperkatakan termasuk situasi politik negara yang agak "chaos" atau mungkin dengan bahasa yang lebih elok agak tidak stabil.

Acara mengemas dan menghias rumah berakhir sekitar jam 1 pagi. Semua orang kepenatan dan masuk beradu dengan segera sebab esoknya mahu ke masjid menunaikan sembahyang sunat eidulfitri. Saya tidur di ruang tamu sebab semua bilik (hanya dua sahaja) "occupied". Tidak mengapa demi raya kali ini. InsyaAllah raya tahun depan lebih teratur dan lebih bersedia untuk menyambutnya. Wassalam.