
Cuti persekolahan yang lepas telah memberi kesempatan kepada saya untuk menjelajah Malaysia Timur atau lebih dikenali sebagai Pulau Borneo. Pengembaraan ini membawa seribu makna buat saya. Dengan bertemankan ahli keluarga, saya memandu kereta kesayangan Waja 1.6 meluncur terus dari Kota Kuching, Sarawak menuju ke Kota Kinabalu, Sabah. Dua wilayah jajahan Malaysia di sebelah timur tenggara (southeast) dalam peta dunia.
Perjalanan ini dirancang bersempena pernikahan sepupu di Daerah Lawas, Bahagian Limbang, Negeri Sarawak. Saya dapat merasakan betapa jauhnya jarak antara Kuching dengan Lawas. Wah.. Negeri Sarawak tercinta ini sememangnya luas dan besar. Bayangkan perjalanan ini memakan masa dua hari dan sejauh lebih 1400 km.
Perjalanan bermula dari Kuching terus melalui banyak tempat. Mungkin saya boleh ceritakan buat kalian supaya boleh menjejaki "tracking" tempat disepanjang perjalanan itu. Di antara tempat yang dilalui ialah bermula dari pekan berdekatan sempadan Tebedu-Entekong(Indonesia) iaitu Serian, terus ke Balai Ringin, Simunjan, Sri Aman, Betong, Saratok, Sarikei, Sibu, Bintulu, Batu Niah, Miri. Kami singgah bermalam di Miri kerana kepenatan.
Kemudian meneruskan perjalanan melepasi sempadan Sungai Tujuh - Kuala Belait (Brunei) dan melalui banyak tempat di Negara Brunei Darussalam seperti Lamunin, Kampung Mulaut terus ke Kuala Lurah. Di Kuala Lurah sekali lagi kami melepasi sempadan untuk masuk ke Bahagian Limbang, Sarawak. Di Limbang kami singgah makan tengahari. Kalau kalian nak makan makanan laut yang segar eloklah singgah makan di Bandar Limbang. Makanan sedap dan murah.
Dari Limbang kami terus ke Lawas, tetapi terpaksa sekali lagi melepasi sempadan Limbang - Temburong(Brunei). Satu jam perjalanan dari Puni, Brunei terus sampai ke Kuala Trusan(Malaysia). Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya membawa waja ke Bandar Lawas, daerah paling hujung di Sarawak, daerah yang bersempadanan dengan Negeri Sabah. Kami bermalam di Lawas dan berkenalan dengan keluarga sebelah perempuan, isteri kepada sepupu.
Semasa menunggu majlis perkahwinan dilangsungkan iaitu pada hari Ahad, kami bercadang untuk ke Kota Kinabalu atau nama tersanjungnya KK. Saya membaca peta dan bertanyakan kepada orang tempatan. Katanya perjalanan mengambil masa 3 jam dari Lawas-KK. Pagi keesokan harinya kami bertolak dari Lawas. Kemudian melalui Merapok sempadan Sabah, terus ke pekan Sipitang. Kami berhenti di Pasar Tamu, Sipitang. Saya tertarik dengan ikan bilis lantas membelinya. Faktor utama kerana harganya murah sekitar RM13 untuk 1 kilo ikan bilis yang sudah dikopak. Wow murah sekali!
Bertolak dari Sipitang terus ke Beaufort, Kuala Penyu, terus ke Lok Kawi dan sampai akhirnya ke KK. Huh! penat juga rasanya. Saya dah berjaya sampai ke KK. Satu pengalaman yang cukup "best" buat saya. Kepada pembaca blog ini, saya cadangkan agar kalian dapat merasai bagaimana perjalanan dari Kuching ke Kota Kinabalu. Teruskan niat anda sekiranya ada kemahuan!