Ahad, 4 Disember 2011

Krisis Malaysia dan Indonesia

Sebelum saya memulakan bicara, terlebih dahulu tulisan ini merupakan pandangan peribadi saya dan tidak berkaitan dengan sebarang kumpulan politik atau pihak-pihak tertentu yang berkenaan. Terlebih dahulu, saya memohon maaf sekiranya terdapat kata-kata dalam penulisan ini yang menyinggung mana-mana pihak. Semoga penulisan ini dapat dijadikan sebagai wadah percambahan idea dan satu detik untuk kita berfikir bersama bagaimana kita dapat membantu meredakan isu-isu yang berkaitan berkenaan hubungan di antara Malaysia dan Indonesia.


Salam pertemuan, sejak kebelakangan ini kita selalu mendengar isu-isu di media antarabangsa berkenaan dengan krisis yang melanda dalam aspek hubungan di antara dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Pelbagai persepsi dan dan pandangan yang telah diluahkan oleh banyak pihak melalui laman blog, laman sosial dan saluran TV internet dan tidak terkecuali di dalam arena arus media perdana di kedua-dua buah negara. Di Malaysia, berita ini dianggap sensitif dan hanya disiarkan secara tidak langsung dan tidak sebagai berita utama di media tempatan.


Melihat akan senario ini, terdetik dalam hati saya, apakah mungkin perkara ini akan berlarutan dan akan menjadi serius sehingga menyebabkan berlakunya peperangan di antara kedua-dua buah negara yang berjiran ini. Apa yang pasti saya harapkan agar Tuhan melindungi sekalian makhluk yang hidup di dalam kedua-dua buah negara ini. Sekiranya berlaku peperangan atau penaklukan nescaya akan berlaku satu malapetaka bagi manusia sekali lagi selepas kita melihat siri peperangan di antara dua buah negara berjiran. Contohnya seperti Iraq dan Iran, Korea Utara dan Korea Selatan, serta Cina dan Jepun. Perbalahan pada mulanya telah mencetus peperangan yang begitu menyeksakan bagi kedua-dua buah negara itu. Saya berdoa agar tidak tercetusnya musibah perang di antara Malaysia dan Indonesia. 


Merintis hubungan dua hala di antara Malaysia dan Indonesia pada masa yang lalu ibarat seperti air di lautan ada surut dan ada pasangnya. Hubungan unik yang tidak dapat dirungkaikan ini seperti satu "trademark" di antara Malaysia dan Indonesia. Sekejap menjadi kawan sekejap menjadi lawan. Mungkin persamaan budaya di antara kedua-dua buah negara ini menyebabkan berlakunya situasi seperti ini. Atau pun kerana nilai ke-daerahan dan ke-sempadanan menjadi "trigger" pencetusnya krisis. Ataupun kerana Malaysia adalah sebuah negara dan Indonesia juga adalah sebuah negara yang berdaulat yang terpisah dek sempadan buatan manusia. Ataupun mungkin masing-masing masih mencari identiti bagi negara masing-masing. Ataupun sifat fanatik nasionalisme beberapa individu yang terlalu mengagungkan negara masing-masing. Sifat kebangsaan atau nasionalisme memang satu sifat yang dijunjung tinggi oleh rakyat yang menduduki sesebuah negara. Tanpa semangat ini nescaya sebuah negara akan hancur dan mudah dipengaruhi oleh anasir luar. Jadi apakah jawapannya?   Wallahu'alam... Hanya tuhan sahaja yang mengerti.


Uniknya hubungan yang berlaku di antara Malaysia dan Indonesia kerana banyak nilai-nilai persamaan di antara kedua-dua buah negara. Seperti di Malaysia, terdapat keturunan Jawa, Bugis, Minang dan Melayu yang dirangkum sekali sebagai Kaum Melayu di peringkat nasional. Saya menggunakan perkataan keturunan kerana susur-galur salasilah mereka adalah dari keturunan berkenaan. Seperti orang Jawa di Malaysia yang ramai menetap di Negeri Johor dan Selangor mereka masih mengekalkan budaya, percakapan, makanan, pemakaian tradisional dan cara hidup orang Jawa. (sila rujuk laman web ini: http://www.joshuaproject.net/people-profile.php?peo3=17000&rog3=MY) 


Cuma diperingkat nasional mereka berbahasa Melayu. Mana mungkin kita dapat memisahkan budaya orang Jawa di Malaysia sebagai satu kaum atau keturunan yang lain.Itu mustahil. Manakala di Sabah dan Sarawak terdapat pelbagai kaum dan keturunan seperti Kadazan, Bajau, Dusun, Iban, Bidayuh, Kenyah, Kelabit dan Orang Ulu yang dikategorikan sebagai Kaum Bumiputera diperingkat nasional. 


Justeru, begitu juga di Negara Indonesia pelbagai bangsa dan keturunan yang hidup bersama di dalam sebuah negara. Di Indonesia kita dapat melihat Keturunan Jawa, Melayu Sumatera, Bugis di Makassar, Sunda, Madura, Melayu Sambas dan banyak lagi. Tidak ketinggalan juga Bangsa Peribumi Kalimantan yang diklasifikasikan sebagai Orang Dayak di Indonesia. Ternyata keturunan-keturunan ini mempunyai kesamaan budaya dan tidak dinafikan mereka juga mempunyai hubungan talian kekeluargaan. Cuma atas nama sempadan yang memisahkan mereka. Cuma atas nama Rakyat Malaysia dan Rakyat Indonesia yang memisahkan mereka.


Merujuk kepada kehidupan saya sendiri, saya mempunyai ramai kawan baik "teman rapat" yang berasal dari Indonesia. Kami sudah bersahabat selama hampir 10 tahun dan masih berhubungan sehingga sekarang. Apabila berlakunya krisis seperti ini masing-masing di antara kami berfikir bagaimana dan kenapa ianya berlaku. Jadi apa yang dapat saya simpulkan ialah sebenarnya konsep kejujuran dan bercakap serta bertindak benar itu yang penting dalam sebuah persahabatan. 


Nah, terpulanglah kepada pembaca di luar sana yang sudah membaca tulisan saya ini. Diharap kita dapat berfikir dan berdoa (bukannya berharap semata-mata) agar hubungan baik di antara kedua-dua buah negara ini berkekalan sehingga sampai bila-bila. Bak kata dalam Bahasa Indonesianya "Sampai Kapan Pun Bisa Hidup Dalam Aman". Amin...