Rabu, 30 Julai 2008

Psikologi Murid Sekolah Rendah

Setelah tiga tahun mengajar sekolah rendah, saya dapat merasakan perbezaan dalam cara mengajar dan mendidik murid. Murid sekolah rendah atau nama lainnya kanak-kanak bawah umur (12 tahun ke bawah) mempunyai tingkahlaku dan paras emosi yang berbeza. Tidak seperti murid-murid di sekolah menengah. Mereka lebih "curios" dalam banyak hal. Saya lebih suka menggunakan bahasa anak-anak merujuk kepada murid sekolah rendah kerana mereka layak digelar sedemikian. Dengan rupa paras yang bersahaja, rilek, santai dan kadang nakal, mereka tidak tahu apa yang berlaku di sekitar dan tidak akan memikirkan kesan dan akibat mahupun kenapa ianya berlaku. Mereka hanya tahu apa yang hendak dibuat pada hari ini apabila pergi ke sekolah. Siapa kawan yang akan bersama mereka semasa di sekolah. Dan di manakah tempat mereka akan berkumpul semasa waktu rehat.

Anak-anak ini adalah satu anugerah tuhan yang unik. Mereka hanya menerima apa yang diberikan oleh orang dewasa. Dan mereka kenal siapa ayah, emak, adik-beradik, kawan sekolah, guru dan mungkin lebih jauh lagi ahli keluarga sebelah ayah atau emak. Anak-anak ini sememangnya "white canvas" yang masih mencari dan mendapati sesuatu di dalam kehidupan. Ingatan dan pengalaman yang baru akan disimpan di dalam memori kekal mereka. Itu pun, tidak banyak yang akan di ingat bila mereka dewasa nanti.Jadi, pendekatan bagi guru di sekolah rendah bukan sekadar mengajar tetapi memahami tingkahlaku dan paras emosi kanak-kanak sebelum memulakan pelajaran. Kebanyakan guru di sekolah rendah faham dan mungkin bersetuju dengan saya, guru sekolah rendah bukan sekadar mengajar tetapi memahami dan melayan karenah murid dalam memberi pengajaran dan pembelajaran.

Tiada ulasan: